35 rumah atas air musnah dalam kebakaran di Kampung Bungaya, Sandakan


SANDAKAN, 20 Nov — Sebanyak 35 rumah musnah dalam kebakaran sekitar tengah malam tadi di sebuah perkampungan atas air di Kampung Bungaya, Batu Sapi dekat sini.

Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Pusat Gerakan Operasi JBPM negeri menerima panggilan kecemasan pada 12.40 malam dan sepasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan bergegas ke tempat kejadian kira-kira 22km dari balai berkenaan.

“Operasi melibatkan kawasan terjejas seluas 1.5 ekar (0.6 hektar) dan kebakaran dapat  dikawal pada 2.35 pagi dan tamat sepenuhnya pada 5.19 pagi.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca serta anggaran kerugian dalam siasatan,” menurut kenyataan itu.

Dalam operasi tersebut, seorang anggota Rela tidak sedarkan diri semasa menjalankan tugas mengawal keadaan dan telah diberi rawatan awal oleh anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum dihantar ke Hospital Duchess of Kent di sini dan dilaporkan dalam keadaan stabil.– BERNAMA



Leave a Reply