AKSI DI FILIPINA BANYAK BANTU TAMBADAU


Oleh Wartawan BS

KOTA KINABALU: Dua aksi pra-musim di Filipina banyak membantu pasukan itu dalam usaha mereka membentuk skuad yang mantap bagi menghadapi saingan Liga Super tidak lama lagi.

Dua perlawanan persahabatan itu menyaksikan Tambadau menewaskan naib juara Liga Filipina musim lalu, Kaya FC 2-0 pada Selasa dan sekali lagi beraksi dengan baik semalam apabila menundukkan Stallion Laguna FC 2-1.

Bagaimanapun, pengurus pasukan, Henry Soimpon berkata, skuad kendalian Kurniawan Dwi Yulianto itu masih memerlukan beberapa lagi aksi persahabatan bagi memastikan para pemain ‘biasa’ dengan corak permainan baharu yang ditampilkan Kurniawan.

“Dalam dua perlawanan ini kita dapat mengenalpasti pemain-pemain yang boleh memikul tanggungjawab sebagai kesebelasan utama, namun, ianya masih di peringkat awal kerana kita masih sedang dalam proses nembentuk pasukan.

“Bagaimanapun, saya gembira dengan persembahan para pemain di sini (filipina), mereka mempamerkan satu permainan berkualiti yang kita boleh banggakan.

“Kita juga perlu mengadakan beberapa lagi perlawanan persahabatan dan kita juga mungkin akan merancang ke luar negara lagi bagi mencari pemain dan apabila skuad ini sudah lengkap nanti, kita akan mencari lawan yang lebih kuat untuk aksi persahabatan,” katanya.

Mengulas mengenai aksi bertemu Stallion Laguna FC, semalam, Henry berkata secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan para pemain.

“Mereka (pemain) juga semakin serasi beraksi dan semakin biasa dengan corak permainan seperti yang digunakan coach (Kurniawan).

“Walaupun penyerang kita tidak menjaringkan gol namun corak permainan berpasukan yang baik membolehkan pemain lain meledak gol sekali gus memastikan kemenangan kita,” katanya.

Dalam aksi itu, Tambadau lebih dulu ketinggalan namun dua jaringan di babak kedua, masing-masing menerusi Alto Linus dan Park Taesu memastikan Sabah terus cemerlang dalam aksi pra-musim mereka.



Leave a Reply