Bermula sebagai tempat menenangkan fikiran, kini menjadi pusat pelancongan


RANAU, 9 Dis  — Bermula hanya sebagai tempat menenangkan fikiran pada 2000, siapa sangka kawasan yang dahulunya hutan kini menjadi antara pusat persinggahan pelancong di sini.

Keputusan nekad Rosmiah Kantilik, 63, pada 2016 untuk menjadikan kawasan berbukit di Kampung Kinapulidan itu sebagai taman penternakan kelulut dilihat tidak sia-sia kerana kini ia menjadi tumpuan persinggahan pelancong dalam dan luar negara.

Minat beliau untuk menternak kelulut timbul setelah melihat suasana di situ sangat sesuai untuk menternak kelulut selain kawasannya yang agak luas.

“Makcik sangat bersyukur kerana mempunyai menantu perempuan yang turut bersama-sama berkongsi minat serta membantu menternak dan menguruskan kelulut.

“Madu kelulut di sini mempunyai lima jenis perisa kerana di sini juga terdapat 48 jenis tanaman herba dan bunga yang disedut oleh kelulut berkenaan,” katanya ketika ditemui sempena Program Jelajah Agroprenuer Muda Sabah, baru-baru ini.

Rosmiah berkata, terdapat 80 koloni (sarang) kelulut di kawasan ini yang mempunyai rasa sarsi, masam, manis, pedas dan pandan.

Jelasnya, koloni itu disediakan untuk memberi peluang kepada pelancong untuk menyedut madu dengan bayaran sebanyak RM2 bagi pelancong tempatan manakala RM5 untuk antarabangsa.

Menariknya kawasan itu juga berhampiran dengan Sungai Kaingaran yang mempunyai air jernih dan bagi pelancong yang ingin bermalam, bayaran penginapan sebanyak RM25 dikenakan bagi sebuah rumah yang dipanggil sebagai ‘tinunturu gidi’ dalam bahasa Dusun.

Rosmiah berkata ‘tinunturu gidi’ bermaksud rumah yang dibuat dengan hasil kerja tangan tanpa dibantu oleh suaminya.

Bagi pengusaha sos cili dan sambal di Tuaran, Deliam Zainuddin, 53, pula berkata perusahaan keluarga yang mula dibuka pada 2012 itu kini semakin berkembang hasil bantuan daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Dengan kemudahan dua buah mesin pengisar di pusat pengeluaran sos itu ia mampu menghasilkan  1,000 kilogram sos cili dan 500 kilogram sos tomato sehari selain turut memproses sambal tuhau.

“Pusat pemprosesan ini mula dibuka pada Februari 2013 dan kini ada empat pembantu terdiri daripada ahli keluarga termasuk anak perempuan saya yang akan mengambilalih urusan perniagaan ini nanti,” katanya yang berasal dari daerah Kota Belud.

Deliam berkata, setakat ini produk sos keluarannya dengan label ‘Mak Anna’ itu dipasarkan di sekitar Pantai Barat dan Kota Kinabalu malah sambal tuhau turut mendapat permintaan dari Semenanjung namun kos penghantaran bagi sekotak tuhau tinggi menyebabkan ia tidak dapat dihantar.

Sementara itu, Penasihat Teknikal Taman Anggur dan Buah Tin (Jongrapevines & Figs Garden) (JGFG) Jontih Enggihon memulakan penanaman buah anggur hanya sebagai hobi di sekitar rumahnya pada 2011  sebelum menanam buah tin pada 2014 di Kampung Bantayan, Tamparuli.

Beliau kemudiannya membina rumah hijau pada 2015 bagi tanaman itu dan pada 2018 menjadikan ia sebagai ekopelancongan untuk dikunjungi oleh para pelancong termasuk para pelajar.

“Sejak 2017, JGFG telah menganjurkan 16 kursus asas penanaman anggur di Sabah dan Shah Alam dengan purata 30 peserta setiap kursus selain menghasilkan buku mengenai penanaman anggur,” katanya yang turut dibantu ahli keluarganya.– BERNAMA



Leave a Reply