HORMATI KEASLIAN PAKAIAN TRADISI DALAM INOVASI


Madius (kedua dari kanan) menyampaikan piala dan hadiah kepada pemenang tempat pertama kategori Busana Pengantin, Boyd Petrus Pensin

PENAMPANG: Pengekalan ciri-ciri dan simbolism pakaian tradisi dalam rekabentuk serta kreativiti fesyen pakaian tradisi amat penting, demi memartabatkan dan memberi penghormatan terhadap adat resam serta amalan etnik atau kaum Sabah yang berkenaan.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, berkata demikian semasa merasmikan Pertandingan Mereka Baju Tradisi Kreatif Sabah anjuran Pergerakan Wanita UPKO Pusat, di Pusat Kebudayaan Sabah, Penampang, Jumaat lalu.

“Setiap pakaian tradisi mempunyai makna dan
lambang-lambang tersendiri. Pada masa yang sama, dalam arus pembangunan dan
ledakan teknologi kini, memang kita terbuka kepada kreativiti, rekabentuk
baharu dan sebagainya. Tetapi, inovasi ini hendaklah mengekalkan ciri-ciri dan
makna dalam apa yang telah diamalkan oleh mereka yang berkenaan,” katanya.

Beliau menyatakan bahawa resolusi yang dipersetujui dalam
persidangan dwi-tahunan UPKO tahun lepas akhirnya telah membawa kepada
pengiktirafan pakaian tradisi Sabah sebagai salah satu daripada pakaian pekerja
oleh pihak kerajaan Negeri pada 31 Mei tahun ini.

Madius menyampaikan piala dan hadiah kepada pemenang tempat pertama kategori Busana Pejabat, Vinnie Nurshahirah

Beliau seterusnya berharap bahawa usaha yang membanggakan
ini terpulanglah kepada semua pihak termasuklah para ahli UPKO sendiri untuk
memartabatkan dan mengambil langkah-langkah seterusnya untuk memastikan usaha
ini terus dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

Dalam pada itu, Madius, yang juga merupakan Menteri
Perdagangan dan Perindustrian, berkata dalam mengembelingkan teknologi baharu
rekabentuk fesyen dalam menginovasi ciptaan mereka, perlu juga ada usaha untuk
meningkatkan pengetahuan dari segi pengurusan perniagaan supaya para usahawan
industri fesyen bersedia meningkatkan skala perniagaan mereka apabila
permintaan semakin bertambah.

“Di peringkat jabatan dan agensi Kerajaan Negeri
sahaja, terdapat seramai 21 ribu kakitangan yang tentunya menjadi satu peluang
yang terbentang bagi para usahawan fesyen dan pakaian tradisi,” katanya
lagi.

Beliau seterusnya mengingatkan bahawa awal tahun ini,
Kerajaan Negeri telah mensasarkan sekurang-kurangnya 100 usahawan industri
kecil yang berjaya setiap tahun.

Calon-calon akan dipilih pada bulan Oktober ini oleh
Kementerian Perdagangan dan Perindustrian untuk dibantu dan dikembangkan bagi
meningkatkan lagi pasaran serta perniagaan mereka.

Pertandingan pada malam tersebut memperagakan fesyen
kreatif bertemakan pakaian tradisi suku kaum dan etnik di Sabah, dan terbahagi
kepada dua kategori, iaitu Busana Pengantin dan Busana Pejabat.

Dalam setiap kategori, pemenang tempat pertama membawa
pulang wang tunai sebanyak RM3,500.00, tempat kedua memenangi wang tunai
RM2,500.00, manakala tempat ketiga membawa pulang wang tunai berjumlah
RM1,500.00. Kesemua pemenang juga menerima trofi dan sijil penyertaan.

Untuk kategori Busana Pengantin, Boyd Petrus Pensin
meraih tempat pertama, diikuti oleh Severinus Nain di tempat kedua, dan Rubayah
Undoh di tempat ketiga.

Manakala untuk kategori Busana Pejabat pula, pemenang
tempat pertama jatuh kepada Vinnie Nurshahirah, diikuti oleh pemenang tempat
kedua iaitu Boyd Petrus Pensin, dan pemenang tempat ketiga iaitu Abdul Fikri
Gompul.

Pihak penganjur pertandingan, iaitu Pergerakan Wanita
UPKO Pusat, juga mengambil kesempatan pada malam tersebut untuk melakukan amal
kebajikan dengan memberi dua sumbangan cek bernilai RM3,000.00 setiap satu
kepada Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Penampang dan Persatuan Autism Sabah.



Leave a Reply