Jabatan Imigresen Sabah wujudkan Pelan Tindakan Operasi 2020


TUARAN, 27 Nov  — Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah akan mewujudkan Pelan Tindakan Operasi Jabatan Imigresen Sabah pada tahun hadapan untuk memastikan kawalan di sempadan pintu masuk ke Sabah akan lebih baik dan tersusun, kata Pengarahnya Datuk Dr Muhamad Sade Mohamad Amin.

Antara perkara yang terkandung dalam pelan itu ialah cabaran yang dihadapi oleh JIM seperti isu-isu kebolosan dan pertambahan jumlah anggota di pintu masuk di sempadan negara jiran.

“Pelan ini juga mengambil kira perkembangan terkini seperti perpindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan Timur, oleh itu JIM melihat keperluan untuk respon kepada perkara itu.

“Ia adalah pelan tindakan menyeluruh yang akan melibatkan agensi dan pihak keselamatan lain untuk  bersama-sama menjayakan pelan ini,” katanya ketika ditemui selepas program Siri Ceramah Eksekutif ‘Keselamatan Sempadan Negeri Sabah’ di Auditorium Institut Tadbiran Negara (INTAN) di sini, hari ini.

Muhamad Sade berkata, JIM juga akan mengkaji peraturan yang digunakan oleh jabatan itu seperti dalam Ordinan Imigresen 1963 negeri Sabah yang perlu dikemaskini dan ditambahbaik.

Beliau berkata, dengan penambahbaikan dalam ordinan itu akan dapat membantu JIM menghadapi cabaran dalam melaksanakan tugas penguatkuasaan.– BERNAMA



Leave a Reply