Joshua Mairon ungguli perlumbaan Kota Marudu Challenge


KOTA MARUDU, 9 Sept — Pelumba muda berbakat, Joshua Mairon menepati ramalan apabila mengungguli kategori remaja lelaki pada perlumbaan berbasikal Kota Marudu Urban MTB Challenge Jamboree sempena Fiesta Hobby 2019 di sini, semalam.

Pernah menduduki tempat ke-12 pada Kejohanan Basikal Bukit Remaja Asia 2018, Joshua, 18, yang menyarung jersi pasukan KM TcE dan mewakili daerah Kota Marudu, mengetepikan rakan sepasukan Lee Jun yang menduduki tempat kedua, sementara Aaron Tang yang mewakili Kota Kinabalu di tempat ketiga.

Kategori perlumbaan sejauh 30 kilometer itu disertai paling ramai peserta pada kejohanan berkenaan melibatkan 120 peserta dari Daerah Beaufort, Telupid, Ranau, Kudat, Kota Kinabalu dan negara jemputan Brunei.

Bagi kategori lelaki veteran, Yamin Ali, 50, yang mewakili Kota Kinabalu, muncul juara manakala bekas pelumba wanita kebangsaan Natasya Soon dari Kota Kinabalu merangkul kejuaraan acara wanita terbuka.

Pelepasan perlumbaan bermula 7 pagi itu disempurnakan Setiausaha Sulit Ketua Menteri Sabah Francis Au.

Ia bermula di hadapan dewan komuniti Kota Marudu melalui beberapa kawasan jalan berbatu, bukit, jambatan gantung dan anak sungai meliputi Kampung Goshen, Simpangan, Lampada, Tambilaung serta Tagaroh sebelum berpatah balik ke Bandar Kota Marudu.– BERNAMA



Leave a Reply