Kawasan Simpanan Padang Ragut Seluas 300 Ekar Dikenalpasti Sesuai Dibangunkan Sebagai Kawasan Perindustrian


DEWAN UNDANGAN NEGERI SABAH, Kota Kinabalu: Kementerian Perdagangan dan Perindustrian melalui K.K.I.P. Sdn Bhd telah mengemukakan cadangan pembangunan kawasan perindustrian di kawasan tanah Kg Kilugus, Kuala Penyu pada tahun 2005 dan dirancang untuk dibangunkan dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-9 (RMKe9) 2006-2010. Demikian dijelaskan oleh Menteri berkenaan YB Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau ketika memberikan jawapan bertulis kepada soalan yang dikemukakan oleh ADUN Kuala Penyu YB Limus Jury.

Madius yang juga Timbalan Ketua Menteri seterusnya menjelaskan bahawa kawasan seluas 300 ekar dalam kawasan simpanan padang ragut di Kg Kilugus telah dikenalpasti sesuai untuk dibangunkan sebagai kawasan perindustrian. Kawasan tersebut sangat sesuai kerana lokasi berhampiran dengan kawasan gula Sabah, geografi kawasan yang tidak memerlukan kos-kos pemotongan tanah yang tinggi, terletak di pertengahan Kuala Penyu dengan Menumbuk serta berhampiran dengan kemudahan asas seperti jalanraya, letrik, air dan telekomunikasi.

“Pembangunan kawasan ini dijangka akan menelan belanja pembangunan kira-kira RM 60 juta dengan sasaran industri utama adalah pemerosesan sumber-sumber atau bahan-bahan mentah terutama sumber gula yang terdapat di kawasan sekitar. Objektif utama untuk mensasarkan pengeluaran produk bernilai tambah adalah selain memberi peluang kepada usahawan tempatan untuk berkecimpung dalam industri pembuatan tetapi juga untuk memberi peluang pekerjaan kepada rakyat di sekitar Kuala Penyu.

“Bagai manapun, permohonan peruntukan Kerajaan Persekutuan dan Negeri bernilai kira-kira RM 60 juta tidak dipertimbangkan di bawah RMKe9. Cadangan pembangunan itu akan diteliti dengan lebih lanjut selaras dengan hasrat kerajaan  untuk membangun kawasan-kawasan di luar bandar.  Ianya juga sejajar dengan dasar kerajaan untuk membangun sektor pembuatan sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi yang disasarkan untuk menyumbang secara signifikan kepada Keluaran Dalam Negari Kasar (KDNK) atau Gross Domestic Product daripada 7.2 peratus kepada 35 peratus menjelang tahun 2035,” katanya.

Beliau seterusnya menambah bahawa dalam usaha membangun sesebuah kawasan perindustrian, banyak faktor yang perlu diambilkira.

“Dari beberapa lawatan yang telah diadakan oleh Kementerian saya, adalah didapati bahawa negeri-negeri yang mengalami kadar pembangunan yang pesat seperti Pulau Pinang, Sarawak dan Johor;  jentera pembangunan mereka amat fokus dan menjurus ke arah pencapaian objektif yang sama (common objectives shared by all). “Peruntukan sumber-sumber terutama sumber kewangan adalah dikendalikan secara terfokus dimana sumber kewangan tersebut akan menyumbang secara langsung kepada kejayaan pelaksanaan sesuatu program atau projek pembangunan. Contohnya, penyediaan infrastruktur asas seperti jalanraya, sistem perparitan, sistem pembentung najis, sistem bekalan air, bekalan tenaga eletrik dan lain-lain kemudahan logistik termasuk pelabuhan yang menyokong pertumbuhan aktiviti sektor pembuatan adalah dirancang “in-tandem” dengan cadangan pembangunan kawasan tersebut sebagai kawasan perindustrian,” tambah beliau.



Leave a Reply