MADIUS: GANDA USAHA UNTUK KEHARMONIAN


Oleh Wartawan BS

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada semua masyarakat Cina di seluruh Malaysia, khususnya di Sabah.

Beliau yang juga Presiden UPKO turut berharap agar Tahun Baru Cina kali ini akan meneruskan keharmonian serta perpaduan yang sudah lama menonjol di negeri bawah bayu ini.

“Sempena Tahun Baharu Cina ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan ‘Gong Xi Fa Cai’ kepada semua saudara-mara, rakan-rakan serta seluruh rakyat Sabah.

“Marilah kita menggandakan juga usaha untuk mengekalkan keharmonian kalangan semua.

“Semoga tahun ini akan memberikan kita lebih banyak keberkatan, dilimpahkan rezeki serta diberi kesihatan yang baik,” katanya, di sini, hari ini.

Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran juga akan memenuhi beberapa jemputan rumah terbuka Tahun Baru Cina di sekitar Tuaran, Kota Kinabalu dan Kimanis.

Beliau juga dijangka akan turut hadur pada majlis rumah terbuka anjuran Lembaga Pelancongan Sabah (STB) yang akan diadakan di Dewan Hakka, di sini, Ahad ini.

Sementara itu, Madius turut menjemput orang ramai untuk datang memeriahkan rumah terbuka Tahun Baru Cina UPKO yang akan diadakan di Taman Suria, Penampang, pada 1 Februari depan.



Leave a Reply