MASIH ADA YANG DEGIL –


KOTA KINABALU: Masih terdapat bot-bot kecil penduduk dari Pulau Gaya, di sini, berdegil untuk memasuki Jeti Pasar Besar Kota Kinabalu, walaupun larangan sudah dikeluarkan.

Sebelum ini, pihak berkuasa telah menghadkan kemasukan bot kepada empat buah sahaja dalam satu masa untuk mengelakkan berlaku kesesakan di jeti.

Selain itu juga, hanya mereka yang mempunyai alasan kukuh saja dibenarkan mendarat di jeti berkenaan.

Tinjauan mendapati hampir puluhan bot-bot kecil penduduk dari Pulau Gaya cuba memasuki jeti kira-kira jam 7 pagi tadi.

Bagaimanapun bot ronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang menjalankan operasi Inter Agensi bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di kawasan laut dekat jeti bertindak mengarahkan semua bot berpatah balik.

Pengarah Maritim Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim, Mohd Rosli Abdullah berkata, pasukan APMM bersama PDRM berkawal di kawasan berkenaan sejak jam 6 pagi lagi.

“Kelihatan orang tua, kanak-kanak juga turut berada di atas bot berkenaan.

“Kebanyakkan mereka memberi alasan yang tidak mendesak untuk mereka mendarat,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, daripada pemerhatian ini mendapati mereka masih berdegil dan tidak mematuhi arahan yang dikeluarkan kepada mereka.

“Pihak berkuasa juga menghadkan kemasukan bot kepada empat buah sahaja dalam satu masa untuk mengelakkan berlaku kesesakan di jeti.

“Bagi mereka yang tidak mempunyai alasan yang kukuh untuk mendarat diarahkan berpatah balik,” katanya.

Tambah beliau lagi, pihak APMM dan PDRM akan terus bertegas terhadap mereka dan meneruskan pemantauan.

“Operasi ini akan dijalankan pada setiap hari sehingga tamat arahan PKP ini,” katanya.

Pulau Gaya ditutup daripada sebarang aktiviti kemasukan atau keluar oleh orang awam selepas kes Covid-19 dikesan di kawasan berkenaan kecuali perkhidmatan penting dan barangan penting sahaja dibenarkan./BERITA SABAH



Leave a Reply