Peruntukan RM2.54 juta membiayai bekal air terawat dan graviti di Sook


KENINGAU, 11 Sept  – Kementerian Pembangunan Luar Bandar Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM2.54 juta bagi membiayai projek pembekalan air terawat dan graviti di beberapa buah kampung di Sook.

Penolong Pegawai Daerah Kecil Sook Paul Isidore berkata daripada jumlah itu sebanyak RM2.5 juta diperuntukkan bagi pembekalan air terawat kepada lima kampung iaitu Sekikilo, Ulu Barasanon, Ulu Mapila, Namadan dan Ulu Lintuhun.

Katanya ini meliputi kerja pemasangan paip dari bekalan utama sejauh dua kilometer dan peruntukan sebanyak RM400,000 untuk membiayai pembinaan pembekalan air graviti untuk Kampung Lalapakon yang terletak di Lembah Trus Madi sejauh enam kilometer.

“Untuk di Lalapakon, kerja-kerja melibatkan pembinaan sebuah empangan dan pemasangan paip kepada rumah-rumah penduduk,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Daerah Kecil Sook di Sook hari ini.

Sebanyak 26 kontinjen menyertai perbarisan yang julung kali didakan.

Paul berkata masalah kekurangan bekalan air graviti di Kampung Lalapakon dan sekitar berpunca daripada sumber air daripada tadahan yang semakin kering disebabkan oleh faktor cuaca, selain saluran paip sedia ada mengalami kerosakan teruk.

“Dengan adanya tadahan air yang baharu nanti, ia memberi manafaat kepada lebih 300 penduduk di Lalapakon,” katanya.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Paul berkata nilai perpaduan rakyat di negeri ini sangat tinggi biarpun mempunyai pelbagai kaum dan berbeza anutan agama.

Katanya ini menjadi faktor utama menyumbang kepada keharmonian hidup rakyat dan semangat muhibbah yang penting dalam pembangunan negara.– BERNAMA



Leave a Reply