PROGRAM KEMBALI KE SEKOLAH LANGKAH PERMULAAN LKIM MOTIVASI ANAK NELAYAN


SANDAKAN: Program Kembali Ke Sekolah anjuran Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menjadi langkah permulaan untuk memotivasikan anak nelayan agar belajar sehingga ke peringkat yang lebih tinggi.

Prihatin dengan kehidupan masyarakat nelayan, Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil berkata badan itu mahu melihat kehidupan nelayan berubah dengan memastikan anak mereka mendapat pendidikan tinggi dan seterusnya, dapat menyumbang kepada peningkatan ekonomi keluarga.

“Hampir 10 peratus anak nelayan tidak mendapat pendidikan sempurna iaitu setakat Sijil Pelajaran Malaysia sahaja.

“Program Kembali Ke Sekolah adalah antara program permulaan LKIM seperti menyampaikan peralatan dan seragam sekolah supaya anak nelayan seronok untuk terus belajar hingga ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya kepada pemberita selepas program itu di sini hari ini.

Program itu diadakan di empat negeri iaitu Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Pahang melibatkan lebih 400 anak nelayan.

Muhammad Faiz berkata Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) dan Petronas Dagangan Bhd turut menjayakan program itu.

Beliau juga berharap masyarakat nelayan tidak kekok untuk mempelajari kaedah baharu bagi meningkatkan pendapatan.Antaranya ialah dengan mengasah kemahiran menangkap ikan dengan teknologi baharu, menceburi bidang perniagaan dan mempelbagaikan industri perikanan, katanya.



Leave a Reply