Sabah berhasrat bangunkan industri biofuel, jalin kerjasama dengan syarikat Jepun


KOTA KINABALU, 3 Dis — Sabah berhasrat untuk membangunkan industri biofuel dan biodiesel menerusi kerjasama dengan syarikat Jepun yang pakar dalam bidang itu memandangkan negeri ini memiliki sumber mentah sawit yang sangat besar. 

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata pelabuhan Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu sudahpun tersedia bagi membangunkan industri itu dan apa yang perlu dilakukan sekarang adalah memastikan pelaksanaannya meskipun memerlukan modal besar.

Aspirasi itu disuarakan beliau selepas mengadakan lawatan ke kilang pemprosesan biofuel milik syarikat Euglena Corporation Limited (Euglena) di Yokohama, Jepun, hari ini.

Euglena adalah syarikat peneraju industri biofuel dan biodiesel Jepun yang menghasilkan minyak mesra alam ‘Green Oil’ untuk menggerakkan kenderaan, bahan api jet serta enzim bagi penghasilan makanan menggunakan bahan mentah daripada sawit serta alga.

“Saya yakin dengan adanya inisiatif dilakukan pihak syarikat ini, jika ada kerjasama dengan negara kita khususnya Sabah, kita yakin bukan hanya sumber baharu minyak bahkan juga memastikan kegunaan kelapa sawit negara kita dapat dipertingkat sekali gus meningkatkan lagi permintaannya.

“Ia sudah pasti akan dapat membantu dari segi harga yang boleh kita kekalkan stabil serta dapat membantu bukan hanya industri tetapi juga masyarakat luar bandar yang berkecimpung dalam produk ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Ketua Menteri, di sini, hari ini.

Mohd Shafie berkata sekiranya cadangan kerjasama dengan Euglena itu berjaya, nilai pelaburan bersama syarikat itu di POIC boleh mencecah sehingga RM2 bilion bagi tempoh jangka masa panjang.

Sehubungan itu, beliau telah mempelawa pemilik Euglena, Mitsuru Izumo untuk datang ke Sabah bagi melihat sendiri peluang pelaburan yang ada sekali gus membincangkan kerjasama yang boleh dijalin.

“Saya yakin dengan adanya tanaman sawit yang begitu luas di negara kita, kita perlu melihat alternatif kegunaannya untuk memastikan harga dan permintaan di peringkat dunia dapat ditingkatkan dan ini adalah salah satu produk yang telah dikaji selidik di Universiti Tokyo dan mereka juga mengeluarkan enzim yang bukan hanya bagi penghasilan makanan tetapi juga biofuel.

“Saya telah mempelawa pemilik syarikat itu untuk datang ke negara kita bagi melihat bagaimana kerjasama sebaik mungkin dapat direalisasikan… mereka memang berminat kerana tahu bahawa (Malaysia) adalah negara pengeluar kelapa sawit terbesar di dunia selain Indonesia dan melihat Malaysia sebagai satu pilihan utama,” katanya.– BERNAMA



Leave a Reply