Sabah gubal enakmen pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam negeri


KOTA KINABALU, 20 Nov — Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah sedang dalam proses menggubal Enakmen Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Negeri selaras dengan pembangunan Dasar Kebersihan Negara di peringkat Persekutuan.

Menterinya Datuk Dr Jaujan Sambakong berkata dengan adanya enakmen itu, segala peraturan, garis panduan dan penguatkuasaan berkenaan pengurusan sisa pepejal akan dapat diperjelaskan serta dikuatkuasakan.

Jaujan, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, kementerian itu juga sedang dalam proses menyiapkan draf akhir Undang-undang Kecil Larangan Penggunaan Plastik Sekali Guna dan Penyedut Minuman di premis perniagaan untuk dikuatkuasakan di seluruh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Sabah.

“Selain itu, bagi memastikan kawasan rekreasi di negeri ini terus terpelihara berikutan peningkatan pelancong, kementerian juga bercadang mewujudkan Undang-undang Kecil bagi kutipan fi utiliti dan ameniti Kerajaan Tempatan.

“Kutipan fi itu akan digunakan untuk pengurusan sampah dan pembersihan awam supaya kawasan peranginan dan tumpuan pelancong dapat diberi penjagaan yang sewajarnya,” katanya ketika menggulung Belanjawan 2020 Sabah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, hari ini.

Jaujan berkata sebanyak RM2.9 juta telah diperuntukkan bagi tahun depan untuk pembinaan, pembaikan, penyelenggaraan tapak pelupusan dan pengurusan sisa pepejal di Sabah.

Dalam pada itu, Jaujan berkata kementerian itu buat pertama kalinya memperkenalkan proses kelulusan Pelan Pembangunan dalam tempoh 24 jam melalui sistem dalam talian di peringkat PBT.

Beliau berkata PBT akan memberi kelulusan dalam tempoh berkenaan kepada permohonan pelan itu dengan syarat semua peraturan yang ditetapkan oleh semua jabatan dipatuhi.

“Pemohon diberi tempoh enam bulan untuk memenuhi semua syarat yang ditetapkan oleh jabatan teknikal untuk dikemukakan kepada PBT sebelum dibawa ke pusat sehenti untuk kelulusan muktamad,” katanya.– BERNAMA



Leave a Reply