Sarawak pertimbang wujudkan kawasan perumahan untuk kakitangan awam


KUCHING, 2 Dis  — Kerajaan Negeri Sarawak akan mempertimbangkan cadangan untuk mewujudkan kawasan perumahan untuk kakitangan awam negeri serta kakitangan awam persekutuan yang berkhidmat di sini.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan negeri akan berbincang dengan pihak Kongress Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs) mengenai cadangan itu.

“Kita akan bincang dan kenal pasti beberapa tempat, selain mendapatkan input mengenai senarai pegawai awam persekutuan yang bertugas di negeri ini yang mahu membeli rumah. Kita bangunkan rumah yang berpatutan, umpamanya di kawasan Kemuyang, Sibu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pejabat Cuepacs negeri Sarawak di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, kawasan perumahan itu nanti dicadangkan untuk dibangunkan di luar kawasan Kuching.

“Kita akan teliti dahulu kerana kerajaan negeri sedang membuka kawasan baharu dengan akses jalan raya baharu, kita akan lihat di mana ada tanah yang boleh kita pertimbangkan untuk dibangunkan kawasan perumahan. Apapun tunggu dahulu, kita buat perancangan terlebih dahulu,” katanya.– BERNAMA



Leave a Reply