Seramai 22 wakil sertai program jelajah media di Sabah


LAHAD DATU (Sabah), 11 Sept — Sejumlah 22 wakil media dari pelbagai platform media sosial, akhbar, dan majalah, dari Malaysia dan Singapura mengambil bahagian dalam program jelajah media ke Tawau, Lahad Datu dan Sandakan anjuran Tourism Malaysia yang bermula hari ini.

Tourism Malaysia dalam satu kenyataan hari ini berkata program yang dijadual sehingga 15 Sept itu dilaksanakan khusus bagi memperkenalkan media tempatan kepada pelbagai produk pelancongan di daerah-daerah di Tawau, Lahad Datu dan Sandakan, di samping membantu usaha mempromosi dentinasi-destinasi di Sabah sebagai menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2020.

“Kumpulan media ini akan melalui pelbagai pengalaman menarik termasuk menelusuri Sungai Kinabatangan, mandi lumpur gunung berapi, melawat tempat-tempat bersejarah seperti Agnes Keith House, Gereja St. Micheal , Kuil Buddha Puu Jih Shih, Sandakan Memorial Park dan Muzium Sandakan Heritage Museum.

“Mereka juga akan dibawa melawat Sim Sim Water Village, meneroka Pusat Pemuliharaan Orangutan Sepilok, Pusat Pemuliharaan Beruang Matahari Borneo, di samping merasai makanan laut yang segar lagi enak yang cukup terkenal di bahagian pantai timur Sabah,” menurut kenyataan itu.

 Menurut Tourism Malaysia, program itu turut diadakan selaras dengan pelancaran Festival Makanan dan Pertanian Sandakan 2019 pada 13 Sept di Bandar Kim Fung di Sandakan.

“Mereka (media) juga akan berpeluang menyaksikan pelancaran festival itu yang menampilkan produk-produk makanan dan pertanian Sandakan, di samping mengikuti pelbagai aktiviti berkaitan seperti lumba Food Discovery, pengalaman makan malam yang unik, demonstrasi memasak, bengkel membuat tapai, pertandingan makan, dan sebagainya,” menurut kenyataan itu.

Tourism Malaysia berharap media akan berkongsi pengalaman pengembaraan mereka meneroka Sabah dengan para pembaca mereka dan seterusnya menarik minat orang ramai untuk mengunjungi negeri yang dikenali sebagai “negeri di bawah bayu” itu.

Menurutnya aktiviti pengembaraan itu dijangka menjadi bahan kepada antara 80 dan 100 artikel yang akan dikeluarkan oleh para peserta termasuk di media-media seperti Facebook, Instagram, YouTube, Twitter dan blog.

Dengan memanfaatkan sepenuhnya pengaruh media sosial media, hashtag seperti #TourismMalaysia, #MalaysiaTrulyAsia, #cuticutimalaysia, #vm2020, #CutiCutiMalaysia, #VM2020 #GoSabahExperienceMore #SabahOkBah #SyiokOSabah #MalaysianHospitality and #MasWingsMates akan digunakan sepanjang program ini bagi menarik perhatian ramai.

Pengembaraan media ini dianjurkan dengan kerjasama Malaysia Airlines, MASwings, Sabah Tourism Board, Sandakan Tourist Association, Myne Resort Kinabatangan dan Tabin Wildlife Resort.

Malaysia Airlines melakukan penerbangan ke Tawau dua kali sehari setiap minggu dan Sandakan sekali sehari, manakala MASWings membuat penerbangan dari Lahad Datu ke Sandakan Sandakan dua kali sehari, menurut kenyataan itu.– BERNAMA



Leave a Reply