SUKAN ANTARA PLATFORM TERBAIK MELAHIRKAN MURID-MURID YANG CERGAS FIZIKAL DAN CERDAS MENTAL


Dr Peter Jr Naintin sedang berucap semasa merasmikan KEJORA Jubli Perak SK Sungai Padas

SANDAKAN:  Sukan merupakan antara platform terbaik untuk melahirkan murid-murid yang cergas fizikal dan cerdas mental.

“Menerusi latihan yang konsisten dan seimbang daripada pelbagai aspek yang merangkumi fizikal, mental dan emosi,” kata Ketua UPKO Bahagian Libaran Dr. Peter Jr. Naintin dalam ucapan semasa merasmikan Kejohanan Olahraga (KEJORA) SK Sungai Padas kali ke-25 baru-baru ini.

Sukan mampu melahirkan murid yang cergas, patuh dengan peraturan dan secara tidak langsung membentuk seorang atlet yang berhemah tinggi, bertanggungjawab, berdisiplin dan mempunyai jati diri yang kental serta mempunyai daya kepimpinan, tambah beliau.

Kegiatan sukan yang berterusan akan menjadi satu daripada benteng yang menjadi penghalang kepada murid-murid daripada terlibat dalam pelbagai aktiviti yang tidak sihat, kata Peter.

Peter (5 dari kiri) menyampaikan piala kepada salah satu pasukan yang menang dalam KEJORA SK Sungai Padas tahun ini

Penglibatan dalam sukan juga mampu membangunkan modal insan yang berkualiti dan insan yang memiliki minda kelas pertama yang menjadi peneraju negara pada masa hadapan, katanya lagi.

Melalui kegiatan sukan bukan sahaja akan melahirkan murid yang sihat fizikalnya tetapi murid yang cerdas mindanya. Malahan bidang sukan juga dapat menjadi kerjaya kapada para atlet, dan seterusnya mengharumkan nama negara di persada antarabangsa, kata Peter.

Sementara itu, menurut Peter kejohanan olahraga SK Sungai Padas ini tidak semata-mata menentukan juara dan pemenang bagi sesuatu acara.

Perkara yang lebih penting ialah KEJORA ini memberikan pendidikan secara tidak langsung kepada para murid dan atlet bahawa kejayaan hanya dapat dicapai melalui usaha, ketekunan, perancangan yang rapi dan pengorbanan, tambahnya.

Turut hadir pada KEJORA tersebut ialah Susan Attau, Penolong Kanan Kokurikulum selaku Penyelaras KEJORA Tahunan SK Sungai Padas 2019, Mohd Jamil Mohd Hassan, Wakil Pejabat Pendidikan Daerah Sandakan dan Yang Di-Pertua Persatuan Ibubapa dan Guru SK Sungai Padas, Rosdiaty Roslan.



Leave a Reply